REFORMASI KAJANG

Fatwa Mutakhir Yusuf Qaradawi mengenai Konspirasi 2 terhadap DSAI

Pembongkaran Video Seks DSAI




Pengakuan YB Johari Abdul Tentang Video Seks Eskay

Pembatalan penggunaan dakwat 'indelible' (tidak terpadam) akan selama lamanya memahat tulisan PENIPU DAN MUSUH RAKYAT di dahi lebar Pengerusi SPR. Sifat MUNAFIK yang amat keji ini mengundang kemarahan dan kekecewaan yang menggunung di kalangan pengundi pengundi. Memang kita sedia maklum mengharapkan ketelusan daripada SPR samalah seperti mengharap gajah dapat melepasi mata jarum.


Bukankah UMNO sendiri lahir dari perhimpunan2 HARAM memprotes Malayan Union yang telah diadakan seluruh Malaya ada tahun 1946.

Kalau hendak menunggu permit, maka tidak lahirlah UMNO kerana tidak mungkin Polis pada masa itu akan memberi permit kepada perhimpunan2 yang membawa kepada lahirnya UMNO.

Oleh sebab itu, penentangan UMNO terhadap BERSIH 2.0 adalah satu bentuk KEMUNAFIKAN yang tersangat besar.



Mufti Perak Sanggah Sumpah Laknat Eskay









Thursday, January 23, 2014

Rosmah Bijak Ajar Anak Menabung Dari Kecil


Riza Shahriz Abdul Aziz (gambar bawah, kiri sekali), anak kepada isteri perdana menteri Rosmah Mansor, didakwa memiliki sebuah lagi harta tanah mewah.

Sarawak Report mendakwa, rumah agam 11,500 kaki persegi di West Hollywood dijual padanya dengan harga AS$17.5 juta ((RM58.21 juta) pada September 2010.

Laman pembocor maklumat itu melaporkan, pihaknya sudah melawat tapak itu dan mendapati kediaman asal diruntuhkan dan dibina baru, lengkap dengan kolam renang “sangat luas” di laman depan.

“Orang dalaman yang dipercayai mengesahkan bahawa pembinaan semula itu melibatkan kos lebih beberapa juta lebih daripada harga asal yang diminta, menjadikan kos harta tanah itu menghampiri harga harta tanah Riza sebelum ini AS$33.5 yang kami dedahkan dibeli di New York pada 2012.”

Laporan itu menyebut ia didaftarkan atas nama syarikat 912 North Hillcrest Road (BH) LLC di Delaware.
 
~MK~

STOP Lynas SAVE Malaysia

Himpunan Hijau, diketuai Wong Tack hadir menuntut kilang nadir bumi Lynas ditutup dan mendesak bahan itu dibawa pulang ke Australia.

Kira-kira 30 aktivis mulanya berhimpun di kawasan air pancut KLCC kira-kira 6 petang sebelum berarak ke pusat konvensyen itu 15 minit kemudian.

Sewaktu Wong Tack memasuki pusat tersebut, beliau dihalang oleh pegawai keselamatan menaiki tangga tetapi beliau berkeras menaikinya menyebabkan beliau ditarik.

Pergelutan itu menyebabkan halangan yang dibuat pihak keselamatan sedikit terburai dan membolehkan peserta lain menaiki tangga menuju ke dewan tersebut.

Bahkan, terdapat beberapa peserta itu turut ditarik bagi mengelakkan mereka menuju dewan sambutan kemerdekaan yang menurut mereka ditaja oleh syarikat Lynas.

Malah, kain rentang yang memberi tempoh sehingga 22 Jun depan supaya Lynas menutup operasinya di Malaysia, terkoyak akibat direntap oleh pihak berkuasa tempat itu.

Apabila sampai di tingkat tiga, Wong Tack sekali lagi dihalang beberapa pihak keselamatan dengan menutup pintu.

Tetamu panik

Namun, Wong Tack dan beberapa peserta berjaya menerobos dengan masuki pintu lain yang tidak dikawal.

Dalam kekecohan itu, kedengaran beberapa peserta lain melaung supaya Lynas ditutup. Mereka juga menaikkan poster menolak sisa nadir bumi itu.

Beberapa peserta bantahan itu turut duduk - berdekatan meja pendaftaran majlis - sebagai bantahan mereka terhadap sambutan itu malam ini.

Hal demikian menyebabkan Pengurus Keselamatan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia Llyod Laughlin masuk campur dan cuba menenangkan Wong Tack sekali gus cuba mendengar mesej yang ingin disampaikan oleh kumpulan tersebut.

Hasil perbincangan akhirnya, peserta dibenarkan berada berhimpun di luar dewan tanpa melakukan sebarang gangguan sekalipun sebelum itu mereka duduk dan mengibarkan kain rentang serta poster membantah operasi kilang nadir bumi itu.

Pintu masuk ke dewan tersebut berjaya dikawal rapi oleh pihak keselamatan.

Tetamu yang telah pun tiba di situ kelihatan terkejut dan panik dengan kekecohan yang berlaku, sekalipun pihak keselamatan berkawal di situ.

Jarak antara peserta yang duduk dengan meja pendaftaran adalah sejauh 15 meter sahaja.

Demo besar 22 Jun

Wong Tack dalam perbincangannya menjelaskan kedatangan mereka tidak bermaksud melakukan kekecohan sebaliknya pihaknya ingin menyampaikan mesej kepada bantahan terhadap Lynas.

Beliau berkata, Himpunan Hijau menuntut supaya kerajaan Australia atau pihak suruhanjaya menghormati pendirian rakyat Malaysia yang membantah operasi Lynas.

Kekecohan termasuk tarik menarik antara berlaku pihak keselamatan di KLCC dan aktivis Himpunan Hijau di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang mana akan berlangsungnya sambutan Hari Australia malam ini.

"Kami memberi masa tujuh hari kepada kedutaan untuk memberi respon terhadap tuntutan kami. Kami mahu Lynas keluar dari Malaysia," kata Wong Tack kepada Llyod.

Beliau juga bertanyakan kepada Llyod sama ada pihaknya sedia menerima nadir bumi di bawa pulang ke negara itu.

Llyod tidak menjawabnya dan berjanji akan membawa semua tuntutan mereka ke pihak kerajaan Australia atau suruhanjaya.

Dalam perbincangan itu juga, Wong Tack turut berkata, lautan manusia akan berhimpun di Gebeng, Kuantan pada 22 Jun depan bagi menutup kilang tersebut.

"Sehubungan itu, kita mahu Australia, sebagai negara maju bertindak sesuai dengan mendengar suara rakyat dan berperikemanusiaan," katanya yang kemudiannya mengakhiri perbincangan dan kemudiannya bersalaman.

Dalam sidang media kemudiannya, Wong berharap kerajaan Australia memberi jawapan positif terhadap tuntutan mereka.
 
~MK~

Wednesday, January 22, 2014

Melayu Tak Malu Tapi Murujib Patut Terasa Hina


Ahli politik Melayu Pakatan Rakyat tampil mempertahankan 'flash mob kangkung' anjuran Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk Lee Khai Loon yang dikatakan menghina Melayu.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, beliau tidak terasa terhina dengan tindakan itu kerana ia melibatkan isu ekonomi yang menjejaskan semua bangsa dan bukan sahaja Melayu.

“Orang yang patut rasa hina adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memulakan isu ini dan Umno yang menjadikannya isu kaum,” kata Mohamad.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu berkata, menggunakan kangkung sebagai contoh tidak tepat kerana ia bukan makanan asasi seperti beras.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mengkritik polis yang sepatutnya lebih menjaga keselamatan orang awam dan bukannya menjadi alat Umno.
 
~MK~

PerKaSa - Persatuan Kangkung 1Malaysia


Sunday, January 12, 2014

Bughah Harussani Membahayakan 10000 Rakyat Malaysia Boleh Dibunuh

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sekali lagi mengejutkan rakyat Malaysia apabila beliau mengeluarkan satu fatwa kontroversi pada awal Januari, 2014 yang lalu.

Fatwa itu menyatakan bahawa para peserta demonstrasi pada malam 31 Disember yang ikut serta bersama dengan orang ramai yang telah berhimpun menyambut kedatangan Tahun Baru 2014  sebagai “bughah” (pemberontak). Justeru itu, beliau berkata bahawa “darah mereka adalah halal.”

Sesungguhnya fatwa tersebut telah mengundang pelbagai reaksi hangat. Banyak pihak merasa dukacita, resah dan gelisah dengan fatwa Tan Sri Harussani. Implikasinya sangat serius. Sesungguhnya fatwa mufti Perak itu terlalu keras bunyinya, sehingga para demonstran boleh dikategorikan sebagai “pengganas”.

Kita bersetuju dengan pendapat pelbagai pihak di negara ini bahawa jika tidak diambil langkah tegas oleh pihak berkuasa, fatwa tersebut boleh mengundang pelbagai kesan negatif yang berkemungkinan menjejaskan ketenteraman orang awam.

Apabila seorang mufti berbicara pada khalayak ramai, apatah lagi dengan kedudukannya sebagai seorang mufti terkanan yang telah berkhidmat lebih 30 tahun, maka ia dilihat oleh orang awam sebagai satu fatwa rasmi yang boleh dipegang.

'Bughah' dari perspektif fuqaha’

Menurut Imam Taqiyuddin Abi Bakr Muhammad al-Husainiyy, pengarang kitab Kifayatul Akhyar, perkataan 'bughah' dalam istilah syara' adalah merujuk kepada segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka kepada ulil amri (pemerintah), iaitu pemerintah/ kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam. (Kifayatul Akhyar, Jilid 2, ms. 122) 

Sementara itu pula Said Haji Ibrahim berpendapat bahawa “... Dalam ilmu ketatanegaraan Islam, 'bughah' ialah perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka kepada ulil amri. Ini dinamakan "jarimah siasiyyah”. (Kanun Jenayah Islam, 1996, Kuala Lumpur, 1996, ms. 151)

Di samping itu jenayah dalam politik tidak boleh berlaku kecuali:-
  • Jika tindakan golongan pemberontak mempunyai tujuan yang jelas untuk menggulingkan ketua negara atau tidak mahu lagi mematuhi arahan pemerintahan;
  • Didapati sebab-sebab mereka memberontak dan menetang dasar pemerintah, sekalipun sebab-sebab yang mereka kemukakan itu merupakan sebab yang paling lemah;
  • Telah berlaku penderhakaan dan pemberontakan yang merupakan perang saudara dalam negara, selepas mereka itu mengadakan persiapan senjata dan pertahanan. (Kanun Jenayah Islam, ms. 153)
Dalam sesebuah negara yang berpaksi kepada hukum-hukum Islam, “penderhaka” yang wajib diperangi tertakluk dengan syarat-syarat berikut:
  • Mereka yang telah mempunyai kekuatan dan yang telah berterus terang secara terbuka menentang pemerintah/kerajaan yang adil;
  • Mereka yang telah keluar dari tadbiran ulil amri, dan telah membentuk pemerintah/kerajaan yang baru;
  • Terdapat di kalangan mereka kekeliruan faham di mana mereka menganggap bahawa mereka boleh keluar dari kawalan dan tadbiran imam (pemerintah);
  • Setelah diajak berunding dengan bijaksana sebagaimana yang telah dilakukan oleh Sayyidina ‘Ali Bin Abu Talib, Khalifah Islam Keempat terhadap pemberontak-pemberontak dalam Perang Jamal di Siffin dan kumpulan Khawarij:
  • Mereka telah mengadakan keganasan dalam negara seperti membakar, membunuh dan sebagainya.
Persoalannya sekarang, adakah fatwa mufti Perak itu mempunyai sandaran syara’ yang kukuh serta mengikut manhaj pengistinbatan hukum yang sah? Dalam menjawab soalan ini, ternyata Tan Sri Harussani telah menyalahgunakan penggunaan ayat 9, Surah al-Hujurat yang dikemukakannya sebagai hujah qat’iyy.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangalilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali, kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah (kembali kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya denga adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil (Surah al-Hujurat: 9).

Dalam hemat kita, kumpulan demonstran itu tidak boleh dikategorikan sebagai pemberontak kerana hujah-hujah berikut:
  • Mereka tidak terlibat dalam “peperangan” (iqtital) yang membawa kepada pembunuhan sesama mukmin seperti yang disebut di dalam ayat 9, Surah al-Hujurat;  
  • Penganjur demonstrasi tidak membuat apa apa perisytiharan rasmi untuk tidak mentaati Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong;
  • Para demonstran keluar secara aman sekadar mahu unjuk rasa kerana marah dan kecewa dengan kegagalam pemerintah gagal mengawal harga barang naik secara mendadak mutakhir ini;
  • Para demonstran tidak memiliki apa apa senjata;
Mufti Perak sendiri tidak turun berunding untuk memberi nasihat kepeda pemimpin-pemimpin demonstrasi supaya mereka meletakkan senjata (sekiranya benar ada senjata) atau memberhentikan demonstrasi.

Mengenai persiapan senjata, pandangan Profesor Dr Wahbah al-Zuhaili, ilmuan fiqh ternama,  menyatakan bahawa kesahihan bagi seseorang atau kumpulan dapat diistilahkan sebagai “bughah”  hanya dengan kewujudan senjata yang banyak sehingga pihak pemerintah terpaksa membekalkan  senjata dengan banyak untuk tujuan mempertahankan diri.

Justeru, banyak wang dan persiapan ketenteraan yang diperlukan bagi menghadapi pemberontak. (Dr Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, Damsyiq: 2007, Jilid 13, ms, 571)

Dalam hubungan ini, Mufti Perak telah menampakkan kegopohannya dalam pembuatan fatwa. Beliau sewajarnya mengemukakan beberapa dalil syara’ dengan panduan nas-nas qat’iy di dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan lain-lain sumber ilmiah yang muktabar.

Wajar berbincang

Tan Sri Harusani sewajarnya berbincang dahulu dengan pelbagai pihak terutama dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli-ahli jawatankuasa Fatwa Syar’iyyah Negeri Perak dan lain-lain pegawai di Jabatan Mufti Perak.

Bagaimanapun, fatwa Mufti Perak jelas tidak merujuk kepada para ulama/ilmuan lain. Islam menganjurkan amalan syura demi mendapatkan muwafakat terbaik dan dapat keberkatan dari Allah SWT. Al-Qur’an mencatatkan: “Sedang urusan mereka diputuskan dengan mesyuarah.” (Surah Assyura: 38)

Oleh kerana hujah-hujah yang dikemukakan tidak kuat, maka jalan keluar yang terbaik bukan untuk mempertahankan fatwa tersebut; seperti yang disebut oleh Tan Sri Harusani dalam akhbar Sinar pada awal Januari lalu.

Mufti Perak sewajarnya mempraktiskan perintah Junjungan Muhammad SAW seperti yang disebut dalam sebuah hadis sahih: “Katakan perkara baik atau diam.”

Selain itu, kegopohan fatwa Mufti Perak jelas menunjukkan beliau hanya bersandar kepada maklumat yang belum dapat dipastikan kesahihannya. Maklumat yang diterima dari media perdana di negara ini perlu disaring sebelum dapat diterima pakai.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu.”(Surah al-Hujurat: 6)

Sejak fatwa tersebut disiarkan di dalam media, ia telah menimbulkan reaksi pasif masyarakat terhadap institusi mufti. Statusnya sebagai pembimbing umat mulai dipersoalkan keabsahannya. Bagi masyarakat Islam yang tidak memahami ajaran Islam, fatwa tersebut menimbulkan ketakutan terhadap agama Islam dan bukannya keinginan untuk mendampinginya.

Islam dari segi jauharnya adalah agama yang sangat menekankan wujudnya kedamaian, keamanan dan kesejehteraan sesama insan. Fatwa yang menyebut “darah mereka adalah halal” membawa konotasi bahawa nyawa manusia begitu murah harganya walhal memelihara nyawa adalah sebahagian dari tujuan utama dalam maqasid syari’ah (objektif syari’ah).

Mengenai kehormatan diri bagi sesorang manusia tidak dibunuh dengan sewenang-wenang, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“...Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerusakan di muka bumi, maka seakan akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.”(Surah al-Ma’idah: 52)

Tingkatkan kewibawaan

Dalam konteks zaman yang serba mencabar, Tan Sri Harusani selaku seorang mufti dan lain-lain penjawat jawatan mufti di negara ini wajar mempertingkatkan kewibawaan mereka sebagai seorang mufti yang benar-benar berautoriti dan berfungsi dengan berkesan dalam pembuatan hukum.

Dalam hubungan ini, barangkali ada baiknya untuk para mufti merujuk sebuah karya penting al-Qardawi yang berjudul al-Fatawa al-Shazzah (Fatwa-fatwa Janggal). (Kaherah: Dar as-Shuruq, 2010)

Dalam buku ini, antara lain, beliau menyebut bahawa seorang mufti jangan terjebak dalam pembuatan pembuatan fatwa yang janggal (shaz). Yang dimaksudkan dengan fatwa janggal ialah fatwa yang terkeluar daripada manhaj yang digunakan pakai secara komprehensif oleh para fuqaha’ dalam pembuatan hukum sejak beberapa abad lalu.

Dalam hubungan ini, satu lagi perkara yang wajar diambil oleh para mufti menurut al-Qaradawi iaitu sikap tidak tergesa-tergesa mengeluarkan fatwa dan bergegas pula memberikan jawapan kepada setiap soalan. Para fuqaha’ pada zaman silam jarang sekali menghasilkan fatwa-fatwa yang janggal.

Al-Qaradawi menegur sikap pasif sebahagian mufti kerana “mengelamun diri kononnya menguasai ilmu dalam semua perkara, tetapi kurang meraikan kewarakan, suka menjawab soalan-soalan yang paling kusut. Walhal Sayyidina ‘Umar al-Khattab menunjukkan satu sikap terpuji sebagai seorang pemimpin dan sekaligus seorang yang punya autoriti dalam agama Islam yang menghayati amalan syura dengan lain-lain sahabat yang diistilah sebagai ahli Badar bagi menyelesaikan soalan-soalan syara’ yang sukar dan sulit, maka beliau akan menghimpun semua kepada Ahli Badar.” (Al-Qardawi, al-Fatawa al-shazzah, ms 8)

(Yang dimaksudkan dengan Ahli Badar adalah para peneraju awal Islam yang terdiri dari para sahabat yang berjuang menegakkan Islam dan sekaligus mereka juga adalah ilmuan-ilmuan yang berotriti dalam ha ehwal Islam).

Demikianlah ketelitiannya seorang sahabat utama Junjungan Muhammad SAW dalam memutuskan kedudukan hukum.

Fatwa juga boleh menjadi janggal (shaz) apabila sesuatu fatwa dibuat oleh orang yang bukan ahlinya. Al-Qaradawi menyatakan bahawa seorang mufti itu pada hakikatnya bertanggungjawab sebagai seorang nabi (yaqumu maqam al-nabiyy) dalam usaha menerangkan kepada orang ramai hukum hakam dan pengajaran Islam.

Justeru, seorang mufti tidak dibenarkan untuk mengeluarkan satu fatwa yang berkaitan dengan makhluk ciptaan-Nya, menguraikan halal dan haram, perkara yang disyara’kan atau tidak disyara’kan, kebaikan dan keburukan kecuali setelah memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk menjadi seorang mufti.

Oleh yang demikian, bagi seorang mufti yang punya kelayakan atau kebolehpercayaan, harus mempunyai penguasaan ilmunya dalam disiplin al-Quran dan al-Sunnah, penguasaan bahasa Arab, ilmu usul fiqh dan maqasid shari’ah, qias dan ‘ilal (sebab), ijma’ dan ilmu khtilaf adalah penting untuk menjamin pengistanbatan hukum yang tidak dapat digugat oleh sesiapa Selain penguasaan ilmu-ilmu Islam warisan dan kontemporari, bagi seorang mufti, ia hendaklah mempunyai rasa takut terhadap Allah, iltizam dengan hukum-hukum-Nya serta berakhlak mulia. (al-Qardawi: ms 26)

Telaah pelbagai rujukan

Imam Shafie dalam satu pandangan yang dipetik oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Kitab al-Faqih wa al-Mutafaqqih berkata:

“Seseorang itu tidak boleh memberi fatwa dalam agama Allah kecuali mereka menguasai Kitab Allah dengan penguasaan ilmu nasakh dan mansukh, muhkam dan mutashabih, ta’wil dan tanzil, makkiy dan madaniyy, penguasaan hadis dalam segala kategori, pengusaan bahasa Arab, syair-syair Arab, ilmu ikhtilaf dan tidak kurang pentingnya, mufti mesti memiliki “al-malakah” (bakat semula jadi). (al-Qardawi, ms 128)

Selanjutnya, dalam era perkembangan pesat ilmu pengetahuan, maka tidak wajar bagi seorang mufti mengandaikan dirinya tahu segala jenis ilmu. Walhal al-Qur’an membicarakan tentang tabii manusia yang tidak diberi keupayaan oleh Allah SWT mengetahui semua jenis ilmu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “...Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (Surah al-Isra’: 85)

Lihat sahaja amalan para sahabat Rasulallah SAW dalam pembuatan sesuatu hukum. Lazimnya mereka berhenti sejenak untuk memberi jawapan. Antara amalan terpuji mereka ialah kesukaan bertanya pendapat lain-lain sahabat.

Al-Qaradawi meminta para mufti banyak menelaah pelbagai rujukan sebelum membuat fatwa halal atau haram. Meskipun seorang mufti itu sudah membuat rujukan muktabar, tetapi dalam hal khusus yang menyangkut dengan keperluan berlakunya keringanan (rukhsah) untuk seseorang ataupun kelompok, maka pandangan-pandangan alternatif boleh dijadikan hujah. (al-Qaradawi, al-Fatawa as-Shazzah, ms 133)

Seperti yang disebut pada awal makalah ini, fatwa Tan Sri Harusani bercitra keras. Hari ini, selain al-Qaradawi, semakin ramai ulama dan cendekiawan Muslim seperti Syaikh Taha Jabir al-‘Ilwaniyy, Dr Wahbah al-Zuhaili, Dr Muhammad al-Zuhaili, Rashid Ghannoushi, Dr Hassan al-Turabi, Syaikh Ahmad al-Raysuni, Dr Jamal ‘Atiyyah dan lain-lain begitu memprihatinkan kepentingan ilmu fiqh dan fatwa yang dikeluarkan dapat dibina diatas prinsip "membuka ruang yang lebih mudah", bukan bersifat "menimbulkan lebih banyak kesukaran".

Al-Qardawi menggesa para fuqaha pada zaman ini mempraktiskan prinsip “al-taysir fil fatwa wa tabsyir fi al-da’wah”  (mengintai ruang mempermudahkan sesuatu dapat berlaku dalam pembuatan fatwa serta menceriakan sebaran Islam). Dalam pembuatan fatwa, al-Qaradawi menyarankan para fuqaha’ perlu menggunakan prinsip al-istislah dan al-istihsan jika tidak terdapat nas-nas qat’iyy. (al-Qaradawi, al-Wasatiyyah al-Islam, Kaherah: 2008, ms. 45)

Inilah manhaj Nabawi dan para sahabah. Junjungan Muhammad SAW bersabda menurut riwayat Sayyidina Anas: “Kamu hendaklah memudahkan segala sesuatu dan jangan menyulitkan, ceriakan dan jangan menakutkan).

Juga, sebuah lagi lagi hadis sahih dari Junjungan Muhammad (s.a.w) yang berbunyi: “Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama hanif yang penuh dengan kesucian.”

Fahami perubahan zaman, suasana

Firman Allah yang bermaksud: “Allah menghendakki kemudahan bagimu, dan tidak kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah: 185)

Persoalan penting yang perlu kita ajukan, mengapa prinsip tersebut diperlukan dalam masyarakat dunia pada hari ini? Dalam hubungan ini, al-Qaradawi memberikan beberapa rasional tentang keperluannya. Antaranya, syariat Islam dibina di atas prinsip keringanan, menolak kesukaran, berciri rahmah dan bertolak ansur.

Sehubungan itu, para mufti dikehendaki memahami tabi’i peredaran zaman dan suasana persekitaran yang sentiasa berubah. Prinsip kemantapan (al-thawabit) dan keanjalan (al-mutaghayyirat) sangat penting difahami secara berimbangan. Hakikatnya manusia moden sedang berhadapan dengan pelbagai masalah baru yang lebih rencam dan rumit dari zaman silam.

Al-Qaradawi memberikan contoh tentang kedudukan bagi seorang murtad yang wajar dikenakan hukuman ringan dengan hanya bertaubat. Demikianlah juga dengan perbuatan minum arak. Hukuman ta’zir sudah memadai. (al-Qaradawi, Khitabuna fi al-‘Asr al-‘Aulamah, ms. 137)

Institusi mufti di negara ini berperanan penting untuk membentuk fikrah Islam dalam kalangan rakyat dengan menggunakan pendekatan prinsip wasatiyyah. Para mufti hendaklah mempamerkan hukum Islam yang realistik dengan mengaplikasikan fiqh realiti semaksimum yang mungkin.

Sebagai contoh, peranan Majlis Islam Eropah menampakkan satu kemajuan besar di bidang fatwa. Para fuqaha’ di benua Eropah telah berjaya megeluarkan fatwa-fatwa penting yang bersifat “solving problem” dengan menggunakan pendekatan maqasid syari’ah dan ‘illah (sebab) dalam sesuatu hukum.

Jadi, pembuatan fatwa berjalan secara tabii, bukan menunggu berlakunya sesuatu masalah. Adalah jelas bahawa faktur utama yang menyebabkan kejayaan pembuatan fatwa di Eropah itu ialah kerana para fuqaha’ di sana dapat menggabungkan ilmu warisan Islam (at-turath) dengan ilmu keislaman semasa.

Selain itu, mereka juga proaktif dengan wacana-wacana ilmu. Jadi, fatwa tidak menjadi jumud dan boleh dipersoalkan sehingga dijadikan mainan orang sebagai “fatwa songsang”.

Di Malaysia, kekerapan wacana ilmiah bagi mendapatkan pendapat baru sangat kurang walhal para mufti amat perlu menghambat maklumat-maklumat terbaru. Kita melihat para mufti acap kali memberi respon secara spontan dalam sesuatu permasalahan  agama terutama yang berkaitan dengan persoalan aqidah dah dan hukum.

Selain pendekatan legalistik, para mufti sewajarnya serius mengambil pendekatan mendidik daripada menghukum. Pendekatan legalistik tanpa diikut serta dengan proses pembinaan ilmu di dalam masyarakat, akan hanya menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan akhirnya perpecahan masyarakat semakin berlaku dengan meluas.

Fatwa Harussani bersifat peribadi

Inilah kesan buruk yang sedang kita rasai sekarang. Kecenderungan mengambil pendekatan keras akan hanya mengundang kebinasaan. Inilah pesan Nabi Muhammad SAW kepada umatnya.

Sabda baginda: “Binasalah orang yang bersangatan dalam membuat sesuatu perkara.” (Hadis sahih).

Maknanya ketaksuban kepada satu pemikiran tanpa menggunakan hujah-hujah yang kuat, membawa padah yang buruk. Beberapa pendekatan fiqh seperti yang disarankan oleh al-Qaradawi wajar digunapakai dalam pembuatan hukum pada masa kini dan mendatang.

Sesungguhnya kegunaan pelbagai pendekatan fiqh iaitu fiqh al-awlawiyyat (fiqh menurut senarai keutamaan), fiqh al-muwazanah (fiqh perimbangan), fiqh al-maqasid al-syari’ah (fiqh maqasid), fiqh al-taghyiir (fiqh perubahan), fiqh al-waqi’ (fiqh realiti) dan fiqhat-ta’addudiyyah (Fiqh Kepelbagaian) dapat memperkuat hujahan fatwa baru dalam isu-isu yang kompleks, antaranya, dalam subjek ketatanegaraan.

Rumusannya, fatwa Tan Sri Harussani tidak dapat dikategorikan sebagai boleh dipakai. Yang jelas, fatwa tersebut lebih bersifat peribadi. Sewajarnya, ia perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa kebangsaan kerana isu yang dibahaskan adalah merupakan persoalan-persolan penting iaitu pemberontak dan penghalalan darah mereka.

Justeru, ia perlu dirungkai secara rasional dengan merai’kan segala prinsip dan menggunakan manhaj syara’ yang komprehensif. Proses pembuatan hukum akan hanya berkesan jika ia dilakukan secara berjamaah bukan lagi secara individu.

DR MUHAMMAD NUR MANUTY adalah ketua penerangan PKR.

Murujib Wal Rosmangkuk Yang Boros


Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak memerlukan jet mewah dan besar sewaktu mentadbir negara selama 22 tahun.

Bagaimanapun, kerajan sekarang mungkin mempunyai lebih banyak dana dan mampu untuk memperoleh pengangkutan mewah seperti itu, katanya dalam satu program bual bicara disiarkan stesen RTM2 untuk memperingati 11 tahun persaraannya.

Kenyataan itu timbul selepas tegurannya kepada kerajaan pada akhir bulan lalu, untuk membuat lebih banyak penjimatan.

"Pada tahun 1981, saya mewarisi Boeing 737 dari PM sebelumnya. Dia (Tun Hussein Onn) mempunyai masalah perjalanan jadi saya boleh memahami mengapa dia perlu mempunyai kapal terbang besar.

"Saya pernah menggunakan kapal terbang untuk masa yang singkat dan saya bertanya kepada mereka berapa kos perjalanan. Mereka memberitahu saya ia melibatkan kos kerajaan sebanyak RM2 juta setahun.

“Kemudian (saya mengambil keputusan) kami menjual kapal terbang, saya memerlukan kapal terbang kecil. Oleh itu, dikurangkan kepada Challenger," katanya kepada pemberita.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya sekiranya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membuat perbelanjaan berlebihan untuk membeli jet.

"Baiklah, sudah tentu sekarang, kerajaan adalah lebih kaya daripada semasa (zaman pentadbiran) saya, maka mungkin mereka perlu melakukan menaik taraf sistem penerbangan," katanya sinis.

November lalu, Jabatan Perdana Menteri memberitahu Parlimen bahawa kerajaan kini memiliki sekurang-kurangnya lima pesawat termasuk Boeing Business Jet.

Pesawat yang dimaksudkan untuk digunakan oleh VVIP termasuk Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong, termasuk pesawat jenis Falcon, Global Express, Boeing Business Jet, Blackhawk, Augustas dan F28 Fokker.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan, kerajaan menanggung kos RM14.95 juta untuk bahan api dan RM160.08 juta untuk kos penyelenggaraan pesawat tersebut sepajang 2012.
 
~MK~

Anwar, Azmin Dan Aktiviti Bebas

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat lalu melepaskan beberapa pimpinan utama PKR membuktikan Akta Perhimpunan Aman patut dimansuhkan.

Mahkamah melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan empat yang lain dari dakwaan menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Bache mengangkat penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum ini yang berkata perintah majistret melarang perhimpunan BERSIH 3.0 adalah tidak sah.

"Justeru, saya menuntut supaya pihak kerajaan mengambil memansuhkan akta ini dan menghormati keputusan mahkamah yang secara jelas membuat penghakiman berdasarkan prinsip keadilan dan kebebasan.

“Kerajaan perlu bertindak memulihkan semula demokrasi dan menjamin hak kebebasan berhimpun selaras dengan Perkara 10 yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," kata beliau dalam kenyataan semalam.

Shamsul yang juga ahli Parlimen Bukit Katil berkata keputusan mahkamah ini akan menjadi duluan bagi kes-kes berkaitan Akta Perhimpunan Aman 2011 (APA2011) kelak kerana ia bertentangan dengan hak kebebasan berhimpun yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya berpandangan bahawa pihak mahkamah secara tidak langsung cenderung mengambil pendirian menolak penggunaan Akta Perhimpunan Aman 2011 (APA2011) yang sememangnya diketahui bersifat antikebebasan dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak rakyat untuk bebas berhimpun.

"Keputusan mahkamah ini akan menjadi duluan bagi kes-kes susulan yang berkait dengan APA2011 dan semestinya menjadi tamparan hebat buat kerajaan Umno-BN yang sebelum ini begitu bersungguh-sungguh untuk meluluskan akta ini meski pun dengan tidak melalui proses yang betul dan pada masa sama mengenepikan bantahan wakil-wakil Pakatan Rakyat di Parlimen," kata beliau.

'Polis tak sensitif pada tuntutan perlembagaan'

Pada masa sama, Shamsul turut menyanggah kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa bahawa tiada demonstrasi yang boleh berlangsung dalam keadaan aman di negara ini.

"Kenyataan beliau menggambarkan beliau tidak sensitif terhadap tuntutan Perlembagaan yang telah digubal oleh para pendiri kemerdekaan.

“Beliau sewajarnya tahu bahawa perhimpunan dan demonstrasi aman sebegini adalah sebahagian daripada proses mendapatkan kemerdekaan seumpama demonstrasi bagi membantah Malayan Union," kata beliau.

~MK~

Thursday, January 9, 2014

Jangan Jadi Sesat Dan Menyesatkan

Ada kritikan yang bersifat ad rem (to the point) yang menyanggah pendapat Tan Sri Harussani Zakaria terhadap perhimpunan TURUN, yang dikatakan sebagai bughah (pemberontak) dan ‘halal darah’.

Selaksa kritikan dihamburkan terhadap mufti Perak itu.

 Tetapi ada juga kritikan yang bersifat ad hominem (to the man) yang bertujuan untuk menjatuhkan keperibadian beliau. Saya kesal dan bersimpati terhadap beliau dalam perkara ini dan ia tidak sepatutnya terjadi.

 Namun begitu Harussani masih tekal mempertahankan pendapatnya.

Kapasiti Harussani sebagai seorang mufti juga membuatkan orang awam keliru bahawa hukum bughah itu adalah bertaraf fatwa.

Tetapi sefaham saya, ia bukannya fatwa dan sekadar pendapat peribadi beliau. Ini kerana sesuatu fatwa mestilah proses istinbat yang teliti dan bukan sekadar pendapat melulu yang berdasarkan berita di televisyen atau naskah suratkhabar.

 Namun begitu, saya melihat Harussani juga keliru dengan pendapatnya tentang bughah.

 Pertamanya ialah tentang tindakan yang sebagaimana yang dikatakan sebagai bughah?

 Apakah mereka yang berhimpun aman tanpa senjata itu boleh dikatakan sebagai berbahaya? Apakah mereka yang berhimpun itu menentang kesemua undang-undang negara? Perkara ini telah banyak dibincangkan oleh mereka yang telah terlebih dahulu menegur pendapat Harussani.

Antara kitab klasik & realiti semasa

 Apa yang ingin saya bincangkan di sini yakni isu kedua, ialah alasan atau sebab musabab Harussani mengeluarkan pendapat bughah. Ini kerana menurut beliau himpunan tersebut bertujuan
menggulingkan kerajaan.

 Persoalan utama yang saya kira perlu diselesaikan dalam perkara ini ialah bahawa siapa itu kerajaan?

 Dalam menentukan letak duduk isu ini, para agamawan perlu membandingkan dan menyesuaikan maksud kerajaan yang dinyatakan di dalam kitab-kitab klasik Islam dengan kerajaan yang wujud pada hari ini.

 Segala apa yang tertulis di dalam kitab-kitab klasik Islam tidak boleh diambil secara bulat-bulat kerana suasana politik telah berubah. Jika pada zaman dahulu sosok khalifah dan para menterinya diiktiraf sebagai kerajaan, namun sesuaikah pentafsiran itu terhadap bentuk kerajaan sekarang?

 Apakah perdana menteri dan kabinetnya layak dikatakan sebagai kerajaan secara keseluruhannya?
Oleh kerana sistem pemerintahan Malaysia berasaskan sistem parlimen ala Westminster, maka perdana menteri cenderung dianggap sebagai ketua kerajaan manakala Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua negara.

 Tetapi sebenarnya dari sudut perundangan, istilah ketua kerajaan terhadap perdana menteri cuma bersifat de facto.

 Jika tidak silap pada pengetahuan saya, gelaran perdana menteri sebagai ketua kerajaan tidak pernah dicatatkan secara rasmi di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia cuma persetujuan berbentuk konvensyen sahaja.

 Yang dicatatkan cuma kedudukan perdana menteri sebagai ketua jemaah menteri atau kabinet. Sekadar itu sahaja.

Kerajaan Britain, pentadbiran Amerika

Kedudukan Agong sebagai ketua negara secara de jure tetap menunjukkan bahawa baginda adalah ketua kerajaan yang sebenar-benarnya.

Oleh kerana itu juga kerajaan yang memerintah dinamakan sebagai – Kerajaan Seri Paduka Baginda, yakni kerajaan Agong. Maka taat-setia atau baiah rakyat tetap tertumpah kepada Agong dan bukannya perdana menteri.

 Cuma dalam urusan kerajaan, Agong bertindak atas nasihat perdana menteri dan pengaruh perdana menteri adalah amat besar. Tetapi Agong tetap mempunyai kuasa-kuasa tertentu yang telah diperuntukkan.

 Pembahagian komponen di dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia boleh dirujuk melalui Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian IV.

 Bawah prinsip pembahagian kuasa, maka Kerajaan Malaysia boleh ditafsirkan sebagai terdiri daripada komponen berikut;

1. Ketua utama negara (Agong).
2. Majlis Raja-raja.
3. Badan Eksekutif (perdana menteri dan kabinetnya).
4. Badan Perundangan Persekutuan (Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara).
5. Tatacara Perundangan (Kehakiman atau Perundangan).

 Oleh kerana sistem politik Malaysia bersifat British-centric rakyat sering mentafsirkan badan eksekutif sebagai kerajaan walhal badan eksekutif adalah cuma sebahagian daripada komponen kerajaan.

 Badan eksekutif di England dan Britain dipanggil sebagai government disebabkan istilah governance. Ini kerana badan eksekutiflah yang mengurus tadbir negara.

 Di Amerika Syarikat pula, perbezaannya lebih jelas. Badan dksekutif dinamakan sebagai administration (pentadbiran) manakala istilah kerajaan pula dirujuk terhadap kesemua badan yang berperanan dalam pemerintahan negara, termasuklah badan eksekutif dan badan perundangan atau kehakiman.

Tak tentang Agong

 Maka saya tetap percaya bahawa peserta ‘himpunan TURUN’ pada tempoh hari bukan bertujuan untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia atau mana-mana pihak.

Tetapi sekalipun mereka ingin menggulingkan kerajaan, maka siapa yang mereka maksudkan?
Maka persoalan saya terhadap Harussani:

Apakah menjatuhkan badan eksekutif yakni perdana menteri dan menteri kabinetnya adalah sama seperti maksud bughah seperti yang tercatat di dalam kitab-kitab klasik Islam?

Mereka tidak menentang Agong, Majlis Raja-raja, badan perundangan persekutuan dan badan
kehakiman. Mereka tidak menentang kerajaan secara keseluruhannya dalam erti kata yang sebenar.

Jika menentang badan eksekutif disamakan dengan menentang kerajaan dan natijahnya perlakuan itu ditafsirkan sebagai khianat, maka bagaimana pula jika seorang sultan yang memecat menteri
besarnya yakni ketua badan eksekutif negeri?

Sultan itu kerajaan atau menteri besar dan barisan exconya yang kerajaan? Dalam hal yang berkaitan, apakah Agong itu kerajaan atau perdana menteri dan kabinetnya yang kerajaan?

Saya merasakan bahawa Harussani keliru dalam mengeluarkan pendapatnya. Pendapat tersebut gagal mengimbangi keilmuan kitab-kitab klasik Islam dan bentuk kerajaan moden pada
hari ini.

Sesungguhnya kitab-kitab klasik Islam karangan para ulama terdahulu tidak melakukan kesilapan.

Kesilapan itu berlaku pada pentafsiran sesetengah daripada kita yang gagal untuk menyesuaikannya terhadap semangat zaman. Jangan mengkhianati keilmuan para ulama terdahulu.

RIZUAN ABDUL HAMID ALUMNUS Akademi Pak Sako ‘Tulis.Ubah.Dunia.’