KEADILAN Selangor optimis akan memenangi semua 11 kerusi Parlimen dan 19 dari 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Umum ke-13 5 Mei ini.
Timbalan Pengerusinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini berdasarkan culaan dan kaji selidik di kerusi-kerusi yang dikhususkan oleh KEADILAN Negeri.
“Kita optimis akan menang semua 11 kerusi Parlimen, 19 DUN, manakala 2 lagi DUN sedang dalam pemantauan dan setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik,” katanya.
Zuraida yang akan mempertahan kerusi Parlimen Ampang itu berkata, calon KEADILAN Selangor yang diumum Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam merupakan gabungan profesional berbilang kaum yang komited kepada perjuangan.
“Barisan yang diketengahkan merupakan golongan profesional yang akan memacu rakyat ke arah sebuah negara dan masyarakat adil serta progresif,” katanya.
“Dengan pengisytiharan itu, maka persiapan KEADILAN Selangor telah pun mencapai 95 peratus.
“Semua persiapan lain seperti logistik, gerak kerja penerangan, kempen setempat dan manifesto telah siap sepenuhnya, yang tinggal hanya untuk calon turun bertemu pengundi,” jelas Zuraida.
Senarai penuh calon KEADILAN Selangor diumum Ketua Umum KEADILAN di hadapan lebih 10,000 rakyat dalam ceramah di padang awam AU2 Keramat, Gombak.
~keadilandaily~
No comments:
Post a Comment