
Proses tersebut perlu dilaksanakan dengan telus dan jika Penjana Bebas bersetuju dengan cadangan itu, pelanjutan operasi boleh diberikan secara rejim pelesenan sahaja iaitu tiada lagi PPA.
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) yang membuat cadangan itu menegaskan, jika Penjana Bebas enggan bersetuju dengan model itu, kerajaan patut menamatkan PPA apabila tiba masanya.
Presidennya, S Piarapakaran berkata, tetapi untuk menamatkan PPA, Kerajaan Persekutuan mesti melaksanakan tiga tindakan terlebih dahulu.
Menurut beliau, tindakan pertama yang perlu dilakukan oleh kerajaan dengan membuka bidaan kompetitif (competitive bidding) mulai sekarang, memandangkan kita masih mempunyai masa yang mencukupi untuk membina loji penjanaan tenaga yang baru.
Katanya, langkah kedua, Penjana Bebas yang menolak cadangan potongan bayaran kapasiti tidak boleh dibenarkan, sebaliknya mesti disenarai hitamkan, untuk membuat bidaan untuk mana-mana projek penjanaan yang baru selepas ini.
"Langkah ketiga, senarai hitam itu juga patut dipanjangkan kepada pemegang-pemegang saham dan ahli-ahli lembaga pengarah daripada Penjana Bebas, anak syarikat serta syarikat induk Penjana Bebas tersebut.
"Tiada pemegang saham dan ahli lembaga pengarah ini dibenarkan untuk terlibat dalam bidaan projek penjanaan baru melalui sebarang syarikat baru atau entiti tertentu," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Langkah tersebut, menurut beliau, perlu dilakukan oleh kerajaan kerana industri elektrik tidak sesuai diuruskan oleh syarikat-syarikat yang hanya mementingkan keuntungan sahaja dan sanggup menggadai kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang kita cintai ini.
Katanya, Kerajaan Persekutuan mesti berkeras untuk melindungi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) telah melaksanakan konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan dan penyelidikan mengenai industri elektrik negara dalam masa 6 bulan yang lepas.
Awer telah menerbitkan sebuah laporan bertajuk ‘Survival: The Future of Our National Electricity Industry’ dan memuatkan hasil kajian, cadangan dan jalan penyelesaiannya mengenai industri itu.
Laporan tersebut akan dihantar oleh Awer kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Tenaga, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan semua ahli-ahli Parlimen.
Salinan laporan (dalam Bahasa Inggeris) itu juga boleh dimuat turun daripada laman web Awer, www.awer.org.my. untuk rujukan semua pihak.
"Mengikut kajian kami, kami dapati bahawa Kadar Pulangan Pelaburan (Return of Investment - ROI) untuk Penjana Bebas (IPP) kebanyakannya adalah kurang daripada 10 tahun dan bagi TNB adalah melebihi 10 tahun," katanya.
Sebenarnya, tegasnya, disebabkan perjanjian konsesi seperti PPA dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan, Penjana Bebas mendapat pinjaman kewangan untuk melaksanakan projek penjanaan tanpa risiko.
"Semua kos-kos ini akan disalurkan semula kepada rakyat melalui tarif. Operasi sebegini tidak melindungi kepentingan negara," ujar beliau.
~harakah~
No comments:
Post a Comment