Larangan terhadap semua anggota Exco negeri itu supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung pemeriksaan gereja oleh Jais baru-baru ini kekal sehingga kerajaan negeri mendapatkan laporan lengkap dari Jais.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri belum lagi mendapat laporan lengkap itu daripada Jais berhubung pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya, 3 Ogos lalu itu.Menurutnya, pihak Jais memerlukan sedikit masa menyiapkan laporan itu kerana turut menghadapi masalah mengambil keterangan dari 12 orang Islam yang terlibat dalam pemeriksaan itu. Ia kerana beberapa undang-undang yang telah diketengahkan oleh peguam-peguam yang mewakili 12 mereka yang terlibat tersebut.
"Laporan terperinci yang diminta termasuklah hasil siasatan dan soal jawab 12 orang Islam yang dikatakan terlibat serta salinan barang kes yang telah diperolehi hasil dari pemerikasaan. Laporan tersebut masih belum siap lagi.
"Sementara itu, arahan kepada semua EXCO supaya tidak membincangkan isu ini secara terbuka masih terpakai sehingga arahan baharu dikeluarkan," katanya pada sidang media di bangunan SUK di sini.
Turut serta pada sidang media selepas mesyuarat Exco itu, Exco Pembangunan Pertanian, Pengurusan Alam dan Usahawan Yaakob Sapari dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri Ronnie Liu.
Tindakan itu menurut Khalid bagi membolehkan pihak Jais menyiapkan laporan tanpa sebarang gangguan dan spekulasi. Arahan tersebut bagaimanapun menurut Khalid hanya tertakluk kepada Exco, pegawai kerajaan dan jabatan kerajaan negeri dan tidak melibatkan individu, NGO ataupun parti politik.
Selain itu juga, pejabatnya juga jelas Khalid, turut menerima surat oleh daripada firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 dari 12 orang Islam yang terlibat. Kerajaan negeri bagaimanapun menyerahkan kepada pakar undang-undang Jais untuk memberi nasihat yang sepatutnya dalam hal ini.
Ekoran itu juga menurutnya, beliau belum dapat mengadap Sultan Selangor bagi memberikan pandangan dan menerima pandangan balas dari baginda. Sementara itu, PAS semalam telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja Methodist Damansara Utama bagi menetapkan tarikh pertemuan antara mereka.
Mereka mencadangkan tarikh pertemuan dengan Jais diadakan pada 15 Ogos ini manakala kunjungan ke gereja Methodist pula akan dibuat 16 Ogos ini. Pertemuan dengan Jais dan gereja diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat Ahad lepas.
Ia bertujuan untuk mendapat gambaran dari mereka sendiri sebelum membuat apa-apa pendirian ekoran tindakan Jais memeriksa gereja berkenaan baru-baru ini. Tindakan itu telah mendapat reaksi pelbagai dari pelbagai pihak di negara ini termasuk menyokong di samping ada yang membantahnya secara keras.
Ekoran itu, PAS memutuskan untuk mendapatkan bukti dan gambaran yang jelas sebelum mengambil apa-apa sikap berhubung kontoversi itu.
~harakah~
No comments:
Post a Comment