Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyamakan rusuhan di London dengan perhimpunan perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu sebagai 'bodoh'.
Sambil ketawa, beliau berkata, kedua-duanya sangat berbeza dari segi suasana dan matlamatnya."Saya tak tahulah kebodohan tahap mana kenyataan timbalan ketua polis negara ini.
"Di London rakyat mengamuk tapi di Malaysia polis mengamuk," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini.
Mohamad berkata, dalam beberapa siri himpunan di Malaysia, ia bermula aman sehinggalah terdapat gangguan dan provokasi dari pihak polis.
"Saya sebut kepada peserta himpunan, jangan terbalikkan walaupun satu pasu bunga dan ternyata ia berlangsung aman.
"Polis seharusnya hadapi himpunan secara aman, kalau rusuhan memanglah kena hadapi secara rusuhan," katanya yang terpaksa menjalani pembedahan lutut akibat terjatuh ketika dilanggar kereta polis pada perhimpunan Bersih 2.0.
Tambahnya, rusuhan yang berlaku di London itu tidak ada kaitan dengan sistem politik sebaliknya kerana masalah kesempitan hidup akibat kemerosotan ekonomi.
"Perdana Menteri Britain sendiri kata, rusuhan itu tak ada kena-mengena dengan politik.
"Tapi himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya yang adil," katanya.
Rusuhan di London, terutamanya di Tottenham bermula Sabtu lalu selepas seorang suspek mati ditembak polis.
Rusuhan bermula di Tottenham, kemudian merebak ke Wood Green, Enfield Town, Ponders End dan Brixton melibatkan pelbagai kelakuan ganas dan merebak ke seluruh kawasan lain di London. Dalam rusuhan itu Polis Metropolitan London diserang manakala kedai dirompak dan bangunan dibaling batu.
Mereka membantah apabila Mark Duggan, pemuda beruisa 29 tahun ditembak polis mati ketika polis berusaha menangkap pengedah dadah kokain dan ahli 'Star Gang' sedangkan beliau tidak bersenjata.
~harakah~
No comments:
Post a Comment