Enam belas usahawan industri asas tani di Miri, Sarawak menerima geran di bawah program pemadanan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.Geran bernilai RM92,000 itu disampaikan oleh menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar. Ia merupakan sebahagian daripada geran keseluruhan bernilai RM3 juta yang dilancarkan tahun lepas bagi membantu 313 usahawan terpilih seluruh negara meluaskan pasaran produk mereka.
Noh berkata dengan bantuan itu, usahawan kecil yang dulunya berpendapatan bawah RM100,000 setahun diharap dapat meningkatkan pendapatan kepada RM1 juta setahun.
"Dulu skop kementerian (Kementerian Pertanian) hanya untuk sektor pertanian, tetapi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sekarang, kerajaan berusaha untuk mengembangkannya ke sektor perniagaan bagi menghasilkan produk yang berkualiti," katanya semasa berucap sebelum menyampaikan geran berkenaan.
Beliau berkata di bawah program itu, kerajaan membantu membiayai 80 peratus kos membangunkan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan bagi produk yang dihasilkan usahawan manakala 20 peratus lagi ditanggung sendiri oleh mereka.
Selain itu, program itu juga membantu daripada segi latihan, pembangunan dan promosi produk mereka, katanya.
~Bernama~
No comments:
Post a Comment