Wakil rakyat Pelagus yang tidak berparti, Larry Sng masih menunggu keputusan pucuk pimpinan BN sama ada beliau masih boleh mempertahankan kerusinya, dalam apa jua bentuk kesepakatan di bawah tiket BN, dalam pilihan raya negeri akan datang.Sng, yang dipecat daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan parti pada 2007, berkata beliau sentiasa menjadi orang BN "dari mula hingga saat paling akhir."
"Meskipun saya tidak mempunyai parti tetapi ini tidak bermakna saya tidak menyokong BN. Saya masih dan akan sentiasa bersama BN.
"Kini, saya menyerahkan nasib (masa depan politik) saya kepada kepimpinan BN untuk membuat penghakiman terbaik dan memutuskan siapa calon paling layak mempertahankan kerusi itu (Pelagus) dalam pilihan raya negeri akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo Perhimpunan Belia 2011 di Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi di Kuching hari ini.
Sng, yang juga menteri muda di pejabat ketua menteri, berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk menentukan siapakah calon terbaik bagi kerusi Pelagus dalam pilihan raya negeri kali ini.
Pada bulan lepas, permohonan Sng, 33, untuk menjadi anggota langsung BN ditolak oleh Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan perdana menteri. Menurut peruntukan BN, mana-mana anggota yang dipecat daripada parti tidak akan diterima untuk menjadi anggota langsung BN.
Bagaimanapun, Taib, yang juga pengerusi BN Sarawak memberitahu pemberita pada satu majlis bulan lepas bahawa beliau mahu Sng terus berada dalam BN dan menjelaskan bahawa Sng merupakan seorang anggota BN yang setia.
Sng mencatat sejarah menjadi wakil rakyat termuda di Sarawak pada umur 22 tahun pada 2001. Beliau memenangi kerusi Pelagus pada pilihan raya negeri 2001 dengan majoriti 6,263 undi dan pada pilihan raya negeri 2006, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 3,239 undi.
Mengenai perkembangan terkini di kawasannya, Sng berkata beliau akan terus memberikan perkhidmatan dan mengekalkan hubungan baik dengan rakyat di kawasan yang diwakilinya dan Pelagus secara tradisinya adalah kubu kuat BN.
"Tiada perkara yang benar-benar menjadi isu di Pelagus. Ia kawasan selamat selagi BN memilih calon yang tepat dan saya pasti BN tahu apa yang perlu dilakukannya," katanya.
Ditanya sama beliau merupakan calon yang boleh menang bagi Pelagus, Sng berkata: "Biarlah rakyat Pelagus menjawabnya. Daripada prestasi perkhidmatan pada pilihan raya 2001 dan 2006, rakyat di Pelagus sentiasa menyokong BN."
"Apa juga keputusan yang diambil BN, ia adalah demi kebaikan rakyat. Saya perlu menghormatinya kerana tiada perjuangan individu. Kami bekerjasama, bekerja sebagai satu gabungan," katanya.
~Bernama~
No comments:
Post a Comment