ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah semalam berpeluang menyertai pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-12. Beliau kelihatan riang bersalaman dengan para wartawan dan ADUN lain semasa majlis pembukaan yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ditanya bilakah beliau menerima perintah mahkamah itu, Teng berkata beliau menerimanya pada minggu lepas setelah beliau memberitahu satu sidang media pada 22 Mac lalu bahawa beliau belum menerima perintah mahkamah yang mengekalkan Badrul Hisham sebagai ADUN Pelabuhan Klang pada 18 Feb lalu.
Beliau berkata perintah itu perlu diperoleh bagi membenarkan Badrul Hisham menghadiri persidangan DUN Selangor yang bermula semalam. Kontroversi timbul selepas Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong pada 16 Jan lepas kerana mendakwa Badrul gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.
Teng turut ditanya sama ada semua anggota-anggota dewan hadir pada hari ini setelah beberapa kelibat ADUN seperti Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) dan Exco Selangor Ronnie Liu (DAP-Pandamaran) tidak kelihatan.
"Saya tidak pasti saya belum tengok lagi daftar kehadiran," katanya.
Mengenai dakwaan M Manoharan (DAP-Kota Alam Shah) tidak dapat memasuki dewan persidangan hari ini kerana tidak mengenakan baju rasmi dewan, beliau berkata: "Saya tak pasti saya belum dapat lagi laporan."
Teng berkata pada persidangan dewan yang dijangka berakhir pada 8 April ini, beberapa rang undang-undang akan dibentangkan seperti Rang Undang-undang Perbekalan, Rang Undang-undang Pindaan Perhutanan, Rang Undang-undang Saraan Ahli Dewan Negeri selain daripada tiga usul dari anggota dewan.
~bernama~
No comments:
Post a Comment