Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya bahawa 300,000 orang dilaporkan mengunjungi karnival BN Youth Jobs membuktikan bahawa anak muda terutama di kalangan graduan mengalami masalah pengangguran dan pekerjaan tidak mengikut taraf pendidikan yang serius.
Pengarahnya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, berdasarkan jawapan parlimen dan kenyataan akhbar oleh Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam pada Jun 2010 dan statistik Jabatan Perangkaan Jun lepas, menyatakan kadar pengangguran adalah pada tahap 3.7 peratus atau sekitar 426 600 orang yang menganggur.
Daripada 426 600 ribu ini, 7.5 peratus atau sekitar 32 000 adalah penganggur di kalangan graduan.
“Kadar pengangguran ini sudah cukup membuktikan bahawa generasi muda masih dalam krisis pekerjaan,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Maka, ujarnya tidak hairan kehadiran yang ramai ke karnival itu menuntut tindakan yang lebih tegas menyelesaikan masalah pengangguran.
Katanya, karnival semata-mata tidak mampu menyelesaikan masalah graduan menganggur dan graduan bekerja tidak mengikut taraf pendidikan.
Ini, tambahnya melibatkan langkah kerajaan mengurus ekonomi dan tatakelola yang baik bagi membanyakkan peluang pekerjaan baik di peringkat kerajaan mahupun swasta.
Menurutnya, dasar kerajaan Barisan Nasional yang boros, mengkayakan syarikat kroni dengan projek mega dan masalah rasuah yang melebar dalam pentadbiran kerajaan menjadikan negara muflis dan akhirnya dana bagi membaiyai peluang-peluang pekerjaan dikurangkan di peringkat kerajaan dan pelabur tidak berminat melabur akibat rasuah dan dasar ekonomi yang berat sebelah.
“Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia ingin menegaskan bahawa masalah pengangguran di kalangan generasi muda terutama graduan adalah masalah yang membelenggu kelompok ini,” katanya.
Justeru, ujarnya karnival semata-mata bukanlah tindakan mapan yang mampu menyelesaikan masalah pengangguran jangka masa panjang.
Tambahnya, dasar ekonomi yang lebih adil, menghapus rasuah adalah merupakan prinsip penting bagi membanyakkan peluang pekerjaan dalam negara.
~harakah~
No comments:
Post a Comment