Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, hari ini menasihatkan pengamal undang-undang supaya tidak mempersendakan mahkamah selain membantu untuk tidak melengahkan perbicaraan.
Bertitah pada Majlis Konvokesyen Keenam Belas Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2010 Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia di Kuala Lumpur, baginda mengingatkan bahawa profesion undang-undang adalah profesion yang dipandang mulia dan elit serta mempunyai peradaban, kesopanan dan etika tersendiri.
Baginda bertitah salah satu tonggak utama profesion undang-undang adalah etika dan moraliti; memastikan integriti undang-undang dan keadilan terhadap mahkamah dan begitu juga terhadap anak guam, dapat disempurnakan.
"Dalam melaksanakan tanggungjawab, mahkamah jangan sesekali dipersendakan, peguam seboleh-bolehnya wajib membantu untuk memastikan perbicaraan tidak dilengahkan dan peguam juga tidak harus dengan cara yang tidak profesional sengaja menyusahkan pihak lawan," titah baginda.
Raja Nazrin Shah turut mengingatkan pengamal undang-undang bahawa mereka wajib menjadi teladan dengan menjauhi perbuatan yang mengabaikan keadilan.
"Sedarilah bahawa tingkah laku para peguam turut diadili oleh masyarakat," titah baginda.
Raja Nazrin Shah bertitah kecekapan mahkamah mengurangkan kes tertunggak bukan sahaja dapat memastikan keadilan dilaksanakan secara segera tetapi turut meningkatkan peraturan pengurusan mahkamah di kaca mata umum.
Baginda turut bertitah bahawa negara memerlukan barisan profesional yang kompeten di bidang undang-undang antarabangsa untuk membantu mempertahankan kepentingan negara di peringkat global.
"Diramalkan evolusi dalam profesion undang-undang sepuluh tahun akan datang akan berlaku lebih hebat dari kadar yang berlaku sejak seratus tahun yang lalu.
"Kesediaan melakukan perubahan dan merintis langkah pembaharuan adalah satu kemestian kepada semua profesion dalam dunia global yang semakin terangkai ini," titah baginda.
Baginda bertitah bahawa evolusi tersebut akan terus berlaku dalam menghadapi gelombang baru, antaranya ialah penemuan pesat di bidang sains dan kemajuan pesat teknologi dan pengaruh globalisasi yang semakin meningkat membawa perubahan bentuk persaingan.
"Perubahan demografi penduduk dari segi usia berserta kebangkitan media sosial, perubahan sosial, serta perubahan persekitaran intelek juga merupakan antara evolusi yang menghadapi gelombang baru," titah baginda.
Baginda juga bertitah bahawa setiap gelombang baru ini memerlukan peraturan baru dan akan meningkatkan keperluan interaksi perundangan di peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment