Pakatan Rakyat hari ini mengesahkan PAS bertanding di lima kerusi dan DAP 15 pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang, manakala PKR pula masih meneruskan perbincangan pembahagian dengan SNAP.
"...selebihnya itu (kerusi) Keadilan dan kita sampai tengahari tadi masih ada rundingan dengan SNAP," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu diumumkan pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.
Turut serta pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan, Idris Ahmad, Presiden PKR, Datin Sri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga hadir pada mesyuarat sebelum itu bagaimanapun terpaksa keluar awal kerana mempunyai urusan.
"Nama-nama kerusi dan calon itu serah kepada parti masing-masing dan akan diumumkan di Kuching.
"Pandangan kita tak perlu umum di sini kerana kita hanya dapat input dari negeri. Kita hanya mengesahkan perundingan di negeri," kata Anwar lagi.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan rundingan PAS dengan PKR dan DAP selesai.
Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya PAS bagi pilihan raya negeri Sarawak berada di sana sejak minggu lalu bagi urusan perbincangan kerusi tersebut.
"Kita sekarang sedang memantau persiapan kita di semua kerusi yang kita bertanding di sini," katanya.
~harakah~
No comments:
Post a Comment