
Pengarang berita itu, yang memberi keterangan berhubung saman fitnah RM10 juta yang difailkan oleh Karpal Singh terhadap Utusan Melayu (M) Berhad, turut menyatakan bahawa ketika kejadian beliau tidak tahu bahawa wujud perbezaan antara perkataan menolak negara Islam dan menolak agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Zulkifli turut mengakui bahawa beliau tidak menghubungi Karpal Singh untuk mendapatkan penjelasan ketika menulis artikel tersebut dan penulisannya bergantung kepada pengalaman serta laporan berita lain mengenai Karpal Singh yang ada kalanya membidas perjuangan PAS untuk membentuk negara Islam.

Sementara itu, Karpal Singh, menerusi kenyataan saksinya berkata perkataan itu (bahawa beliau menolak Islam sebagai agama rasmi negara ini) adalah tidak benar dan beliau tidak pernah berkata demikian.
Beliau berkata Islam ialah agama rasmi Malaysia seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan bebas untuk mengamalkan agama-agama lain secara aman dan harmoni, dan beliau secara konsisten menyatakan pendirian itu dalam ucapan-ucapan beliau dan di Parlimen selama 26 tahun lepas.

Karpal Singh, yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor, memfailkan saman tersebut pada 19 September 2008 kerana mendakwa penerbit akhbar Utusan Malaysia menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung ucapannya pada Kongres Kebangsaan DAP ke-15 pada Ogos 2008 bertajuk 'DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu' pada 25 Ogos tahun yang sama.
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan 24 September untuk sebutan kes.
Defendan diwakili peguam B. Mohana Kumar manakala Sangeet Kaur bagi pihak Karpal Singh.
~Bernama~
No comments:
Post a Comment