PKR telah membuat laporan polis berhubung usaha jahat yang dilakukan oleh Umno sehingga sanggup mewarganegarakan 2,000 rakyat asing, bagi membantu BN mencapai kemenangan di Hulu Selangor pada PRU Ke-13 nanti.
Laporan tersebut dibuat oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang juga Penyelaras PKR Dun Batang Kali, Khalid Jaafar di Balai Polis Bukit Sentosa dengan ditemani Timbalan Pengerusi PKR Selangor yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin jam 10.33 pagi tadi.
Menurut Zuraida, laporan polis itu dibuat ekoran pendedahan yang dilakukannya semalam berhubung perkara itu, dengan bukti pengeluaran sepucuk surat yang didakwa melibatkan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Idris Abu Bakar bertarikh 23 Mac lalu yang ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Katanya, tindakan yang dilakukan oleh Umno itu tidak boleh dibiarkan dan amat perlu diambil tindakan memandangkan ia jelas bertentangan dengan undang-undang, malah ternyata mengkhianati negara.
"Walaupun ia dinafikan oleh Datuk Idris, tetapi kami tetap mempunyai bukti kukuh mengenai perkara ini sebab itulah kami mengambil tindakan membuat laporan polis pada hari ini.
"Jadi dengan laporan yang kami buat ini, kami meminta pihak polis melakukan penyiasatan terperinci dengan segera dari segala sudut mengenai perkara ini demi kepentingan negara," tegasnya ketika mengadakan sidang akhbar selepas membuat laporan itu di persekitaran Balai Polis Bukit Sentosa, di sini, hari ini.
Tindakan yang dilakukan oleh Umno itu, menurut Zuraida, jelas menunjukkan Umno BN kini berada dalam keadaan amat terdesak sehingga sanggup bertindak sedemikian bagi membolehkan parti itu mencapai kemenangan dalam pilihanraya.
Namun, tindakan seperti itu juga bukanlah pertama kali dilakukan oleh Umno BN, malah ia adalah lanjutan kepada tindakan-tindakan yang telah dilakukan di beberapa tempat lain menerusi projek IC termasuk di Likas, Sabah beberapa tahun lalu.
"Apa yang dilakukan di Likas dulu melibatkan 600,000 warga asing yang diberikan taraf warganegara ini. Kini, apa yang telah dilakukan di Likas itu telah turut dilakukan pula di Semenanjung.
"Tindakan seperti ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan tidak boleh dibiarkan. Jika tidak ia pasti akan menimbulkan huru-hara sehingga boleh menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak stabil," tegasnya sambil mengeluh kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh Umno BN berhubung perkara ini.
Lebih dikesali lagi oleh beliau, apabila mereka berusaha menafikannya pula setelah berjaya dikesan walaupun surat tersebut jelas bertandatangan, mempunyai arah tuju yang nyata dan mempunyai kepala surat rasmi berlambangkan Umno.
"Tindakan yang dilakukan oleh mereka itu jelas amat tidak bertanggungjawab. Ia amat jelas melanggar Perlembagaan Negara yang tidak pernah membenarkan seseorang warganegara asing diberikan taraf warganegara ini dengan begitu mudah, apatah lagi untuk membolehkan sesebuah parti itu mencapai kemenangan dalam pilihanraya.
"Namun semua itu tidak dipedulikan oleh Umno BN. Walaupun di dalam surat itu sendiri jelas mempunyai maksud itu. Amat licik permainan mereka.
"Jadi, ini semua memperjelaskan lagi kepada kita semua betapa Umno BN selama ini sentiasa menipu rakyat dengan pelbagai cara demi kepentingan mereka sendiri yang amat perlu disedari oleh seluruh rakyat negara ini," tegas beliau dengan penuh pengharapan.
~harakah~
No comments:
Post a Comment