Tinjauan yang dibuat Harakahdaily mendapati, orang ramai tidak berapa setuju dengan sistem biometrik untuk pilihan raya akan datang kerana ia akan menimbulkan pelbagai masalah berdasarkan pengalaman penggunaan sistem itu sekarang.
Oleh itu, bagi mereka, penggunaan dakwat pada jari adalah yang terbaik dan telus untuk mempastikan tidak ada pengundian berganda dalam pilihan raya umum nanti. Bagi mereka, sistem ini canggih tetapi siapakah yang boleh menjamin ketelusannya kerana ia tidak boleh disahkan oleh rakyat biasa dan menghasilkan keraguan. "Bukan rakyat tidak tahu (Datuk Seri) Najib yang terkenal dengan sikap penipunya, hari ini cakap begitu esok lusa di pusingkan faktanya, rakyat di tipu hidup-hidup," kata Ketua Kampung Changkat, Gombak, Zainal Abidin Abu Bakar.
"Sudah pasti semua ada muslihat yang telah dirancang lama oleh Kerajaan dengan mendapat kerjasama SPR," katanya ketika di temui di Taman Gombak.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengkaji sahaja permohonan Bersih 2.0 melalui tuntutan lapan perkara yang mereka kemukakan melalui memorandum.
“Salah satu dari lapan perkara yang dituntut oleh rakyat dalam himpunan Bersih 2.0 yang lalu adalah menggunakan dakwat kekal bukan sistem biometrik. Ini memberi maksud kerajaan memperlekehkan suara rakyat.
“Mengapa susah sangat kerajaan dan SPR untuk memenuhi permintaan himpunan Bersih 2.0 dengan menggunakan dakwat kekal?" tanya beliau.
Bagi beliau, pemimpin Umno bimbang akan kehilangan kuasa mentadbir negara, sebab itu mereka berdolak dalih dengan mengunakan sistem biometrik yang tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat tetapi sebaliknya membazir wang rakyat untuk menanggung kos yang tinggi untuk membeli peralatan tersebut.
"Meskipun sistem tersebut nampak canggih tetapi ianya tidak mendatangkan manfaat bahkan saya yakin berbagai masalah boleh berlaku," kata Zainal.
Beliau juga memberikan contoh kesukaran yang bakal berlaku jika ianya digunakan nanti.
"Contohnya semasa saya bekerja di sebuah syarikat swasta sistem ini digunakan untuk kedatangan pekerja. Semua kakitangan perlu cop jari dengan menggunakan sistem biometrik tetapi terdapat kesukaran untuk membaca data dengan menggunakan cop jari lebih-lebih lagi apabila terdapat kerosakan kepada jari mereka yang bekerja kasar.
"Bagi wanita pula yang sering menggunakan kosmetik jari-jari mereka juga mengalami kerosakan dan sukar untuk dibaca oleh sistem tersebut," katanya.
Beliau juga mengungkit sistem biometrik yang digunakan di bank selalu menghadapi masalah apabila bank tidak boleh membaca cop jari dan cip pada Mykad apatah lagi apabila elektrik terputus bekalan.
"Kita tidak mahu ketika PRU13 nanti keadaan menjadi kelam - kabut akibat pengunaan sistem biometrik ini yang sekaligus akan melambatkan proses pengundian nanti. PM dan SPR sepatutnya harus memikir kesan-kesan penggunaan biometrik, adakah ia sesuai atau tidak di gunakan dalam pilihanraya umum," katanya.
Ketua Kampung Tengah, Edrus Yusof pula berkata, sistem biometrik tidak memberi jaminan tidak wujud pengundi hantu selagi sistem SPR tidak dibersihkan dengan betul dan tulus terlebih dahulu.
Beliau juga mengungkitkan pengumuman bahawa Mykad yang masih banyak tidak diambil oleh rakyat di Jabatan Pendaftaran Negera (JPN).
"Sudah pasti Mykad tersebut boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak yang dapat akses kepadanya dalam PRU akan datang untuk memberi kemenangan kepada pihaknya," kata beliau.
Tentang kos pula, beliau mempertikaikan kenapa biometrik dipilih.
Katanya, pengalaman negara luar termasuk Kanada menyatakan untuk menggunakan kaedah biometrik dalam mengesahkan identiti pengundi semasa pilihanraya akan memerlukan kos yang amat tinggi.
"Perlu ada talian internet yang stabil di tiap tempat mengundi, perlu ada jenerator pembantu, pengimbas dan sebagainya.
"Siapakah yang akan untung besar bila semua sistem biometrik ini dilaksanakan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak? Macamana nak pastikan ada talian internet yang stabil di pedalaman Sarawak yang peti undi pun perlu diangkut guna helikopter?" soal beliau lagi.
"Kita cabar PM dan SPR jika mereka benar-benar tulus maka gunakan dakwat kekal dalam PRU ke 13. Mereka seharusnya mengambil kira suara hati rakyat dengan menggunakan dakwat kekal yang merupakan lebih berkesan, tulus dan dipercayai bukannya biometrik," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pucuk pimpinan parti politik dan semua badan NGO serta sekratariat himpunan Bersih 2.0 adakan himpunan Bersih 3.0 jika ia tidak diselesaikan. Sementara itu, Tan Choon Yong (Gambar kiri) pula melahirkan rasa ragunya kenapa Perdana Menteri Najib terlalu bersungguh mahu laksanakan biometrik.
“Saya nampak PM Najib dan SPR bersungguh betul ingin laksana kaedah biometrik yang lebih canggih dan lebih mahal berbanding dengan celup jari menggunakan dakwat kekal yang sepatutnya lebih mudah dan murah untuk mencegah pengundi hantu. Kalau Mykad rosak macamana? Adakah kita perlu batalkan penggunaan biometrik yang dirancang oleh mereka pada saat akhir?”
Dengan segala masalah yang dijangka ini, beliau yakin pru akan datang penuh dengan kekecohan jika biometrik digunakan.
“Sedangkan kita mahukan suasana pilihanraya yang tenang, aman dan tulus tanpa diragui oleh semua rakyat," katanya ketika di temui di sini.
Saweswathy a/p Suppiah pula mempunyai alasan tersendiri untuk membantah penggunaan biometrik dalam pilihan raya umum akan datang.
"Jari saya sukar untuk bergerak dan mengalami sakit kulit pada jari semenjak dua tahun yang lalu sehingga kini.
“Setiap kali saya ingin berurusan dengan bank yang menggunakan sistem biometrik memerlukan berbulang kali untuk dilakukan bacaan sistem tersebut. Jadi saya berharap pilihanraya nanti PM dan SPR dapat memikirkan masalah rakyat yang kategori OKU juga bagaimana mereka ingin buang undi jika sistem ini digunakan,” katanya ketika di temui di Hospital Kuala Lumpur yang sedang mendapatkan rawatan di sana.
~harakah~
No comments:
Post a Comment