Datuk Seri Najib Razak pulang ke tanah air setelah melakukan lawatan lapan hari ke Turkmenistan, United Kingdom dan Itali. Perdana Menteri, yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba dengan pesawat khas di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 9.45 pagi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein adalah antara 3,000 orang yang menyambut kepulangan Najib.
Najib memulakan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan pada 11 Julai bagi memenuhi jemputan Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov. Ia merupakan lawatan pertama beliau ke negara itu sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada April 2009.
Selepas menamatkan lawatannya ke Turkmenistan, Najib terbang ke London untuk lawatan rasmi empat hari bagi meningkatkan hubungan antara Malaysia dengan United Kingdom. Najib diiringi Rosmah turut menghadap Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham.
Perdana Menteri kemudiannya berlepas ke Itali bagi melakukan lawatan kerja dua hari ke negara itu mulai 17 Julai, dan telah bertemu Pope Benedict XVI dan berjumpa Kardinal Tarcisio Bertone, Setiausaha Negara Vatican, di Castel Gandolfo, Rom.
Sebaik tiba di tanah air, Najib mempunyai program yang padat.
Perdana Menteri dijangka melakukan tinjauan mesra di Subang dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Subang Perdana dan seterusnya menyertai makan tengah hari bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Subang Perdana.
~Bernama~
No comments:
Post a Comment