Cadangan SPR untuk menggunakan keadah biometrik bagi menyelesaikan isu pengundi hantu dan pengundi bertindih bukan penyelesaian yang sebenar.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, malah ia juga terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.
"PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, begitu juga dengan pendaftaran pemilih secara automatik.
"Kita pelik bagaimana SPR boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam pengendalian biometrik ini, tetapi tidak boleh bekerjasama dalam mengendalikan pendaftaran pemilih secara automatik," ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menjelaskan, PAS mengambil keputusan menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini seperti yang diumumkan oleh SPR baru-baru ini.
Penolakan PAS terhadap sistem biometrik kerana diyakini sistem tersebut tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang masalah yang berlaku dalam pilihanraya di negara kita sejak sekian lama.
Beliau menjelaskan, sebaliknya PAS tetap bertegas untuk menggunakan dakwat kekal kerana hanya dengan cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam pilihanraya di negara kita.
Menurutnya, keputusan menolak penggunaan sistem biometrik dibuat oleh PAS hasil perbincangan yang diadakan oleh para pemimpin PAS pada mesyuarat khasnya di Pejabat Agung PAS hari ini.
Katanya, kewujudan pengundian bertindih atau pengundian dua kali tidak boleh dinafikan oleh SPR atau pihak kerajaan kerana ia telah dikesan oleh PAS dengan menggunakan sistem komputer.
"Antara hasilnya, di Selangor sahaja sehingga kini, PAS telah berjaya mengesan 500 orang pengundi bertindih. Pengesanan itu bukan hanya dibuat menerusi sample-samplenya, tetapi dengan orang-orangnya sekali," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, menurut beliau, pihak SPR sendiri turut mengakui kewujudan pengundian bertindih pada senarai pendaftaran badan itu dan jumlahnya pula amat besar serta menakutkan.
"Pengakuan SPR itu menjadi bukti bahawa kebimbangan kita tentang kewujudan pengundian bertindih itu selama ini memang berasas dan ia merupakan fenomena yang amat membimbangkan," katanya.
Bertolak dari realiti itulah, Bersih 2.0 membuat cadangan agar SPR menggunakan kaedah dakwat kekal untuk mengatasi pengundian dua kali baru-baru ini, tetapi SPR pula menolaknya dengan memperkenalkan sistem biometrik.
"Penggunaan sistem biometrik itu sebenarnya adalah cadangan Perdana Menteri dan telah diterima oleh SPR untuk dilaksanakan, tetapi kita tetap menolaknya dan mahu menggunakan dakwat kekal seperti yang telah dicadangkan oleh Bersih 2.0 baru-baru ini," tegas beliau.
~harakah~
No comments:
Post a Comment