"Sekiranya pihak berkuasa mendakwa mereka mempunyai video yang menunjukkan polis begitu baik kepada peserta himpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, kita mempunyai bukan saja video tulen, tetapi begitu banyak 'kebaikan' polis sehingga kecederaan dan keganasan terhadap rakyat dapat dipertontonkan," kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
Ucapan itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh ribuan hadirin yang membanjiri Pasti Kebun Sireh, Bukit Mertajam malam tadi, sebaik saja video yang memaparkan keganasana polis dipertontonkan kepada hadirin.
Menurut beliau lagi, sekiranya pihak polis ingin memaparkan kebaikan mereka dalam menangani peserta himpunan pada 9 Julai lalu, ia boleh didedahkan sebaik saja selepas himpunan tersebut, tanpa perlu mengambil masa begitu lama untuk didedahkan.
"Rakyat kini bukan bodoh. Zaman ini bukan zaman sebelum merdeka. Dengan sekelip mata saja maklumat mudah diakseskan ke seluruh dunia.
"Bukankah apa yang berlaku kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, YB Khalid Samad, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cedera, Fayyad pembantu Datuk Seri Anwar yang parah, dan kematian Baharudin Ahmad adalah 'kebaikan' pihak polis.
"Banyak lagi bukti video yang kita rakamkan untuk menunjukkan pihak berkuasa melayan rakyat dengan zalim dan tidak berperikamanusiaan," ujarnya yang juga ahli Parlimen Machang.
Malah katanya, rakyat jangan terpedaya dengan video terpilih yang menjadi bahan siaran media arus perdana untuk menyembunyikan fakta keganasan yang telah mereka lakukan dalam menangani peserta himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang lalu.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar serta blogger Amizuddin Ahmat yang disaman oleh Datuk Seri Rais Yatim.
~harakah~
No comments:
Post a Comment