Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melindungi kepentingan rakyat amat memualkan sekali.
Begitulah respons beliau ketika diminta mengulas laporan akhbar Utusan semalam yang bertajuk ‘Lindungi kepentingan rakyat’.Najib yang juga Presiden Umno dipetik berkata: “Justeru, sebagai Perdana Menteri, adalah menjadi tanggungjawab saya melindungi secara serta-merta kepentingan rakyat berbanding sesetengah kelompok’’.
Sehubungan itu, Nik Zawawi menyeru supaya Najib tidak berbohong dan ikhlas dalam mengungkapkan ucapan tersebut.
Ini, katanya kerana seluruh rakyat Malaysia amat sedar bahawa apa yang diungkapkan oleh presiden Umno itu adalah tidak benar dan bertentangan sama sekali dengan realiti yang berlaku.
“Bagaimana dengan projek-projek membazir yang dilakukan oleh kerajaan. Bagaimana dengan perjanjian pembelian senjata yang mengorbankan harta rakyat?
“Mengapa royalti di tarik sewaktu PAS memerintah Terengganu suatu ketika dahulu? Mengapa royalti tidak diberi kepada kerajaan negeri Kelantan?
“Adakah ini juga termasuk dalam slogan ‘Lindungi kepentingan rakyat? ” tanya beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu.
Ini, ujarnya tidak termasuk lagi dengan indeks rasuah yang memalukan. Soalnya, adakah itu yang melambangkan kerajaan melindungi kepentingan rakyat. Begitu juga, katanya dengan perobohan rumah di Kampung Berembang, perobohan Masjid RTB Bujal di Terengganu.
“Kalau benar Najib ingin melindungi kepentingan rakyat, mengapa rakyat menjadi mangsa kezaliman pihak berkuasa sewaktu menyertai himpunan aman Bersih 2.0 baru-baru ini?” soalnya lagi.
Beliau turut menuntut kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kezaliman yang berlaku baru-baru ini dalam perhimpunan aman Bersih.
“Kita tak mahu peristiwa seperti Memali berulang kembali dalam sejarah Malaysia,” ujar beliau kesal dengan tindak tanduk kerajaan Umno BN.
~harakah~
No comments:
Post a Comment