Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan bahawa kenyataan muka hadapan Utusan Malaysia yang disiarkan pada hari semalam berkenaan hukum demonstrasi sebagai pandangan yang dikemukakan di luar konteksnya yang sebenar.
Katanya, pandangan pendakwah tersebut sesuai sekiranya dilaksanakan di dalam sebuah negara yang Islam yang melaksanakan undang-undang Islam dengan penuh keadilan. Adapun, ujar beliau sekiranya keadaan sebaliknya, maka menjadi kewajiban kepada rakyat untuk menjalankan tugasan amar makruf nahi munkar di dalam kerangka syarak.
Menurutnya, konsep itu adalah tersangat jelas di dalam Islam sebagai check and balance dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Beliau berkata, apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah rakyat tidak ada pilihan untuk menegur kerajaan.
“Di parlimen suara kita dibakul sampahkan, bahkan kita telah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan menyuarakan pandangan kita, tapi Umno masih membisu seribu bahasa seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
"Hanya ini sahajalah cara untuk menarik perhatian pihak kerajaan, itu pun secara aman, peserta Bersih tak lakukan keganasan tetapi yang melakukan keganasan ialah pihak kerajaan,” tambah beliau yang juga Adun Manir.
Justeru, beliau menyeru umat Islam supaya membaca kisah 'Ashabul Ukhdud' yang dinukilkan di dalam sahih Muslim, di mana seorang pemuda telah mengumpulkan orang ramai untuk menyaksikan kezaliman pemerintah di negara tersebut dan akhirnya ramai daripada penduduk negara itu yang beriman kepada Allah Taala setelah melihat apa yang berlaku.
Beliau merujuk kepada kisah 'Ashabul Ukhdud' (Sahih Imam Muslim).
Kemudian pemuda itu berkata kepada raja: "Engkau takkan dapat membunuhku kecuali jika engkau menurut perintahku maka dengan itu engkau akan dapat membunuhku, raja bertanya: "Apakah perintahmu?", Jawab pemuda: "Kau kumpulkan semua orang di suatu lapangan, lalu engkau gantung aku di atas tiang, lalu kau ambil anak panah milikku ini dan kau letakkan di busur panah dan membaca: Bismillahi Rabbil ghulaam (Dengan nama Allah Tuhan pemuda ini), kemudian kau lepaskan anak panah itu, maka dengan itu kau dapat membunuhku", Maka semua usul pemuda itu dilaksanakan oleh raja, dan ketika anak panah telah mengenai pelipis pemuda itu ia mengusap dengan tangannya dan langsung mati, maka semua orang yang hadir berkata: "Aamannaa birrabil ghulaam (Kami beriman kepada Tuhannya pemuda itu)". Sesudah itu ada orang memberitahu kepada raja bahawa semua rakyat telah beriman kepada Tuhan pemuda itu, maka bagaimanakah usaha untuk menghadapi rakyat yang banyak ini. Maka raja memerintah supaya di setiap jalan digali parit dan dinyalakan api, dan tiap orang yang berjalan di sana, dan ditanya tentang agamanya, jika ia tetap setia pada kami biarkan, tetapi jika ia tetap percaya kepada Allah masukkanlah ia ke dalam parit api itu.
Maka adanya orang berbaris-baris, dorong mendorong yang masuk di dalam parit api itu, sehingga tiba seorang wanita yang menggandong (membawa) bayinya yang masih menyusu, ketika bayinya diangkat oleh pengikut-pengikut raja untuk dimasukkan kedalam parit berapi itu, wanita itu hampir menurut mereka berganti agama karena sangat belas kasihan pada anaknya yang masih kecil itu, tiba-tiba anak bayi itu berbicara dengan suara lantang: "Sabarlah hai ibuku karena kau sedang mempertahankan yang hak".
~harakah~
No comments:
Post a Comment