Protes terakhir Jumaat lalu semasa lawatan Perdana Menteri datuk Seri Najib Razak ke London menyaksikan tidak kurang 50 orang rakyat Malaysia dan juga asing berpakaian serba kuning dengan iringi lagu the Beatles 'Yellow Submarine'.
Tindakan itu sebagai membantah tekanan, sekatan dan hambatan yang dikenakan ke atas perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.
Bertempat di hadapan Hotel Intercontinental, London, penunjuk perasaan membawa sepanduk yang antaranya tertera “Ya kepada pelancongan, tidak kepada penyiksaan”, “Bebaskan pemimpin kami sekarang”, “Hentikan tahanan tanpa perbicaraan”, “Hentikan perdagangan dengan Malaysia yang kejam' dan melaungkan “Malu, malu, malu Najib”.
Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ketika itu dalam perjalanan ke hotel untuk makan malam.
Tunjuk perasaan bermula pada jam 7 malam hingga 8 malam, 15 Jun dan menurut seorang pemimpin pemuda PKR Ginie Lim ia mendapat sambutan bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga rakyat Britain.
Hanya Anifah yang sanggup bersalaman dan berdialog selama 15 minit dengan penunjuk perasaan manakala perdana menteri, isteri dan sepupunya terus mengangkat kaki menuju hotel berkenaan.
Katanya, beliau prihatin dengan apa yang diluahkan oleh penunjuk perasaan itu tetapi kerajaan perlu menjaga keselamatan orang ramai termasuk ahli perniagaan di kawasan perhimpunan berkenaan.
Anifah juga mempertahankan tindakan keras polis ke atas peserta perhimpunan BERSIH 2.0.
“Tindakan polis berpatutan. Malaysia mempunyai pelbagai bangsa dan jika terjadi huru hara itu mungkin menimbulkan rusuhan perkauman. Kami tidak mahu ambil risiko.
“Awak tidak tahu apa yang berlaku di sana, awak tidak berada di sana” katanya.
Anifah juga ditanya mengenai tahanan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia yang ditahan mengikut Ordinan Darurat. Bagaimanapun apabila ditanya bila mereka itu akan dibebaskan, Anifah meminta mereka bertanyakan kepada Hishammuddin.
~MK~
No comments:
Post a Comment