Pakatan Rakyat terus mengulangi tuntutannya agar 6 anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan oleh pihak polis di bawah Ordinan Darurat (EO) dibebaskan segera, memandangkan pihak kerajaan sendiri tidak mempunyai sebarang alasan untuk terus menahan mereka di bawah undang-undang itu.
Malah, tindakan menahan 6 aktivis PSM di bawah EO jelas menunjukkan pihak polis tidak mempunyai sebarang bukti untuk mendakwa mereka di mahkamah. Sebaliknya, pihak polis hanya melemparkan tuduhan liar dan membuat tohmahan terhadap aktivis itu kononnya mereka akan membawa kemudaratan kepada negara dan terlibat dalam kegiatan subversif.Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan, alasan awal penahanan 6 aktivis itu adalah cukup jelas iaitu untuk menjadikan kambing hitam bagi menakut-nakutkan rakyat Malaysia daripada menyokong dan menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
"Kini, Bersih 2.0 yang ditakuti oleh pihak polis dan pihak kerajaan sudah pun berlalu. Walaupun kami tidak bersetuju dengan alasan menahan mereka kerana Bersih, tetapi kini polis tidak mempunyai alasan lagi untuk menahan 6 aktivis itu memandangkan semua orang lain sudahpun dibebaskan atau akan didakwa di mahkamah," katanya Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.
Berucap pada perhimpunan aman anjuran PSM di hadapan Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, di sini, hari ini, beliau menegaskan, oleh kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah tidak popular lagi, pihak polis tidak berani secara terus terang mengumumkan 6 aktivis itu ditahan di bawah ISA dan berselindung di sebalik EO.
Jadi jelas, menurutnya, pihak polis menahan 6 aktivis itu di bawah ISA, satu akta zalim dan mendapat kritikan dari semua pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.
"PAS dan Pakatan Rakyat tetap konsisten sejak dulu yang menentang perlaksanaan sebarang kanun atau undang-undang rimba di tanah air kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Selain Dr Dzulkefly, antara pemipin PAS yg turut hadir, AJK Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Nuridah Mohd Salleh dan Aiman Athirah Al-Jundi. Turut juga hadir pemimpin Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).
Sebelum itu, beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat termasuk dari PKR, DAP dan PSM turut berucap. Antara mereka termasuklah Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Presiden PSM yang juga Adun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.
Selepas itu pula, beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat lain turut berucap bergilir ganti, bersama-sama pemimpin-pemimpin NGO yang turut hadir bagi menyatakan pandangan dan suara hati masing-masing.
Sambil berucap, mereka antara lain turut melaungkan, "Hidup, hidup, hidup rakyat!, Bebas, bebas, bebaskan tahanan! Hapus, hapus, hapuskan kezaliman" dengan disambut gema suara ratusan peserta.
Perhimpunan aman itu diadakan sekitar jam 2.30 hingga 3.30 petang, sempena penyerahan memorandum oleh pemimpin PSM kepada pihak polis bagi mendesak pembebasan tahanan itu, dengan dikawal rapi oleh pihak polis dan bebas dari sebarang provokasi dari sebarang pihak.
6 aktivis PSM yang masih ditahan di bawah EO itu terdiri daripada Dr Jeyakumar, M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan R Sarat Babu.
Mereka ditahan sejak 12 hari lalu dan tempoh tahanan ke atas mereka terus dilanjutkan oleh pihak berkuasa sehingga 14 hari lagi sehingga menimbulkan pelbagai kerumitan kepada keluarga masing-masing.
Memorandum desakan yang turut disokong oleh 90 NGO itu diserahkan oleh Presiden PSM, Dr Mohd Nasir dan Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan kepada DSP Lai sekitar jam 3.30 petang di tempat lokasi perhimpunan.
Sementara dalam memorandum tersebut, PSM dan Pakatan Rakyat menegaskan, 6 orang tahanan itu adala aktivis sosial yang banyak berjuang untuk rakyat secara terbuka.
Kesemua mereka terlibat dalam perjuangan membabitkan isu-isu seperti perumahan selesa untuk rakyat, gaji minima untuk pekerja, hak pekerja kilang dan ladang, pendidikan percuma untuk pelajar, sistem kesihatan yang mampu dibiayai oleh rakyat dan lain-lain aktiviti serta kempen yang dijalankan secara terbuka.
Lebih 500 aduan polis telah dibuat oleh rakyat biasa mengecam tindakan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hampir 10,000 tandatangan rakyat termasuk doktor-doktor pakar dan 34 organisasi hak asasi dan politik antarabangsa menuntut pembebasan 6 aktivis masyarakat itu.
Namun, sikap berdiam diri pihak polis dan KDN dan enggan membebaskan 6 aktivis itu dari tahanan EO hanya membuktikan pemerintah tidak menghormati aspirasi rakyat, Perlembagaan Negara dan Deklarasi Hak Asasi Sejagat.
"Kami sekali lagi menggesa Ketua Polis Negara agar membebaskan kesemua enam tahanan aktivis PSM itu dengan segera. Kami juga ingin menekankan selagi mereka berada dalam tahanan polis, keselamatan mereka adalah tanggungjawab polis.
"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah menghentikan penggunaan Ordinan Darurat dan semua undang-undang penahanan tanpa bicara ke atas mana-mana rakyat Malaysia kerana ia bercanggah dengan prinsip hak demokrasi dan hak asasi manusia," tegas mereka.
~harakah~
No comments:
Post a Comment